BAHAGIAN KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN (BKKM)

                                                                               

PENGENALAN

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) adalah salah satu bahagian di bawah Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang. BKKM diwujudkan untuk melindungi orang awam dari bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penyimpanan makanan. Aktiviti ini telah berkembang dengan pesat sejak tahun 1950an. Sebelum tahun 1985, penguatkuasaan ke atas keselamatan dan mutu makanan dijalankan di bawah Ordinan Jualan Makanan dan Dadah 1952. Keperluan perundangan makanan direalisasikan dengan kemajuan negara sejajar dengan perkembangan dunia dalam sekuriti dan keselamatan makanan; perkembangan dalam teknologi penghasilan makanan serta pemasaran makanan melalui Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang dikuatkuasakan pada Oktober 1985.

Bermula dari penubuhannya pada tahun 1974, Bahagian ini dikenali sebagai Unit Kawalan Mutu Makanan. Selaras dengan pembangunan industri makanan negara, peningkatan ekonomi pada awal tahun 1990an dan isu keselamatan makanan secara global, Unit Kawalan Mutu Makanan telah dinaiktaraf ke Bahagian Kawalan Mutu Makanan di peringkat Kementerian pada tahun 1993. Pada September 2004, Bahagian Kawalan Mutu Makanan telah melakukan penjenamaan semula kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan. Bahagian ini telah dinaiktaraf kepada Program pada 1 Julai 2010 dengan diketuai oleh Pengarah Kanan dan dua Pengarah Bahagian.

Di peringkat negeri, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) diketuai oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) dan beliau bertanggungjawab kepada Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang. Dari aspek struktur, BKKM terbahagi kepada dua pejabat iaitu Pejabat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang.

VISI

Peneraju kawalan keselamatan dan kualiti makanan negara.

MISI

Memperkasakan kawalan keselamatan dan kualiti makanan di sepanjang rantaian bekalan makanan melalui akauntabiliti bersama pemegang taruh bagi memastikan rakyat mendapat makanan yang selamat dan berkualiti.

 OBJEKTIF

Melindungi orang ramai terhadap bahaya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan serta mempermudahkan perdagangan makanan melalui:

  • Pengukuhan dasar dan perundangan keselamatan dan kualiti makanan;
  • Pengukuhan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan ke atas makanan import, domestik dan premis makanan bagi memastikan kepatuhan terhadap perundangan makanan negara;
  • Pengukuhan kawalan makanan eksport;
  • Pemantapan intervensi dalam menangani isu dan cabaran keselamatan makanan;
  • Penggunaan sains dan teknologi baharu dalam penghasilan maklumat keselamatan dan kualiti makanan berasaskan bukti saintifik;
  • Pemerkasaan keupayaan komunikasi dan pendidikan berhubung keselamatan dan kualiti makanan;
  • Pemerkasaan industri makanan dan pengguna dalam pembudayaan keselamatan dan kualiti makanan; dan
  • Pemantapan kolaborasi dengan semua pemegang taruh di dalam dan luar negara bagi melindungi kepentingan negara berkaitan keselamatan dan kualiti makanan

 

 CARTA ORGANISASI BAHAGIAN KESELAMATAN & KUALITI MAKANAN,

JABATAN KESIHATAN NEGERI PULAU PINANG

Carta BKKM 23062023