PERUTUSAN PENGARAH
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, Kemunculan era globalisasi serta ledakan teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah cara kerja dan gaya hidup manusia dari segenap aspek. Segala urusan berjalan dengan sangat pantas dan segala maklumat yang disalurkan tersebar dengan meluasnya. Hospital Pulau Pinang (HPP) turut tidak ketinggalan untuk menyertai arus ini dan sememangnya sentiasa peka kepada perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam teknologi semasa. Lazimnya interaksi dengan pelanggan agak sukar kerana dibatasi oleh aspek-aspek fizikal seperti jarak yang jauh dan medium komunikasi yang agak ketinggalan. Oleh itu, dengan wujudnya portal ini, pelanggan dapat berhubung dengan HPP secara terus. Saya yakin dengan adanya portal ini, maklumat yang diperlukan dapat diperolehi secara terus, tepat dan cepat.
Disamping itu portal ini juga turut menyebarkan maklumat-maklumat korporat HPP seperti Misi, Visi dan Objektif HPP serta carta organisasi jabatan-jabatan di HPP. Portal ini akan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat yang disebarkan adalah yang terkini untuk faedah semua. Adalah menjadi harapan saya juga agar Portal HPP ini menjadi sumber maklumat bukan sahaja bagi komuniti Pulau Pinang malah kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Saya amat mengalu-alukan sebarang cadangan, penambahbaikan dan pandangan yang membina bagi memantapkan lagi kandungan portal ini. Semoga semua pihak akan mendapat manfaat daripadanya. Selamat melayari Portal HPP.
All For Quality, Quality For All
DR. GOH HIN KWANG
PENGARAH HOSPITAL PULAU PINANG