PENGENALAN
Program Hospital Mesra Ibadah (HMI) merupakan hasrat YBhg. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. Ia telah bermula dengan pelancaran Bahan Pendidikan Ibadah Pesakit pada 25 Februari 2014. Program HMI merupakan satu program penerapan dan penghayatan nilai-nilai Islam di hospital merangkumi pengurusan ibadah pesakit, penghayatan nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugas harian dan khidmat nasihat kerohanian. Program ini dikhususkan kepada kakitangan hospital, keluarga kakitangan, pesakit dan waris yang beragama Islam.
Program HMI adalah satu platform kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri ke arah mencapai piawaian indeks syariah dalam bidang kesihatan selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri melalui pelancaran indeks syariah Malaysia.
Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri telah mula menempatkan pegawai agama (bukan pegawai kader) di beberapa hospital KKM bermula pada tahun 2000. Manakala JAKIM telah menempatkan pegawai agama kader di hospital-hospital KKM bermula tahun 2006. Pada masa ini terdapat lebih 60 orang pegawai agama di sekurang-kurangnya 55 buah hospital KKM.
OBJEKTIF
a) Memastikan pesakit muslim dan waris menerima bimbingan yang betul dalam melaksanakan ibadah serta amalan keagamaan; dan
b) Memastikan kakitangan hospital mendapat latihan dan pendedahan asas mengenai fiqh ibadah serta nilai-nilai Islam dalam menjalankan tugas.
VISI PROGRAM HMI HKB
Menjadikan esok lebih baik dari hari ini.
MISI PROGRAM HMI HKB
Berusaha mengintegrasikan rawatan fizikal, psikososial, mental dan rohani.