Hospital Pulau Pinang (HPP) telah melaksanakan Latihan Kebakaran (Fire Drill) di Blok D pada 6 Oktober 2025 yang lalu sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan berkala bagi memastikan tahap kesiapsiagaan warga hospital menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan berada di tahap optimum.
Pasukan Emergency Response Team (ERT) HPP segera digerakkan untuk melaksanakan prosedur pemindahan pesakit dan kawalan kawasan kejadian sebelum ketibaan pasukan penyelamat luar.
Latihan ini turut mendapat kerjasama erat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Zon 1 Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Balai Polis Dato Keramat, serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Pasukan bomba memainkan peranan utama dalam operasi pemadaman dan penilaian keselamatan bangunan, manakala pihak polis membantu mengawal lalu lintas serta memastikan perimeter kawasan kekal selamat. Pasukan ERT HPP pula menumpukan kepada pemindahan pesakit dan keselamatan kakitangan di kawasan terlibat.
Latihan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihak hospital untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan semua warga kerja terhadap risiko kebakaran.
Fire Drill bukan sekadar latihan rutin, tetapi satu bentuk pendidikan praktikal agar setiap warga hospital tahu peranan dan tindakan yang perlu diambil apabila berdepan dengan kecemasan.
Latihan berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada semua agensi yang terlibat. Hasil simulasi turut membantu pihak hospital menilai semula aspek keselamatan bangunan dan memperkukuh sistem tindak balas kecemasan dalaman.
