Di Hospital Bukit Mertajam (HBM), kami komited untuk mewujudkan masa depan yang lestari melalui pendekatan holistik yang memberdayakan kakitangan kami untuk menjadi inovatif dan peka terhadap alam sekitar.
Sebagai sebahagian daripada Program Kelestarian kami yang berterusan dan selaras dengan matlamat kami untuk mencapai Hospital Sifar Karbon, kami menggalakkan kakitangan kami untuk aktif menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dengan menanam sayur-sayuran dan buah-buahan di ruang hijau Hospital.
Hari ini, kami dengan bangga menyambut tuaian pertama bagi tahun 2025 dari kebun Jabatan Kecemasan dan Trauma kami, menandakan langkah ke hadapan dalam mengurangkan jejak karbon kami dan mempromosikan amalan lestari.
Program ini diterajui oleh Encik Mohd. Akhmal dan dipantau oleh Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, YBrs. Dr. Illiana Syahmun binti Mohd. Razally bermula pada tahun 2022 dan mendapat sokongan padu dari Pengarah Hospital Bukit Mertajam (HBM), YBrs. Dr. Prashant Subramanian dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato' Dr. Fazilah binti Shaik Allaudin. Kebun ini telah berjaya mengeluarkan hasil tuaian sebanyak enam (6) kali. Antara sayur-sayuran yang ditanam adalah sawi, kailan, pak choy dan bayam, yang menggunakan kaedah hidroponik. Ianya bebas dari bahan kimia dan sangat segar.
Bersama-sama, kami membina sebuah Hospital yang tidak hanya memberi khidmat kepada kemanusiaan dengan penuh kasih sayang, tetapi juga menyokong kesejahteraan planet kita melalui inisiatif hijau dan gaya hidup yang lestari.
𝐇𝐨𝐬𝐩𝐢𝐭𝐚𝐥 𝐁𝐮𝐤𝐢𝐭 𝐌𝐞𝐫𝐭𝐚𝐣𝐚𝐦 (𝐇𝐁𝐌)
𝐏𝐚𝐬𝐬𝐢𝐨𝐧𝐚𝐭𝐞𝐥𝐲 𝐒𝐞𝐫𝐯𝐢𝐧𝐠 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐧𝐢𝐭𝐲 𝐒𝐢𝐧𝐜𝐞 𝟏𝟖𝟗𝟎


