Pengenalan
PENGENALAN
Bidang kerja sosial perubatan wujud sebagai satu perkhidmatan yang menguruskan fungsi psikososial individu, keluarga dan komuniti bagi membantu pesakit mencapai tahap kesihatan yang lebih baik. Praktis kerja sosial perubatan berasaskan kepada pengetahuan dalam bidang kerja sosial yang merangkumi aspek psikologi, antropologi & sosiologi, perundangan sosial dan aspek kesihatan. Praktis kerja sosial perubatan merupakan aplikasi kerja sosial untuk menangani ketidakfungsian fizikal, sosial dan psikologi melalui kaedah kerja kes, kerja kumpulan dan kerja komuniti. Perkhidmatan diberikan dalam bentuk bantuan praktik dan terapi sokongan. Model biopsikososial merupakan satu pendekatan bersepadu ke atas tingkah laku manusia dan penyakit berbanding model bioperubatan yang hanya berasaskan sains tulen. Kajian menunjukkan faktor psikososial merupakan asas dan penyebab kepada semua penyakit dan masalah fizikal (Dr. Imtiaz Ahmad Dogar. A.P.M.C. Vol.1.No.1. January 2007). Dimensi penilaian biopsikososial dalam kerja sosial perubatan melibatkan aspek biologikal (keperluan asas, kesihatan yang sempurna, persekitaran fizikal, kemampuan dan ciri-ciri fizikal), psikologikal (sejarah/ pengalaman individu, ciri-ciri personaliti, tahap kecerdasan dan kemampuan mental, identiti dan konsep kendiri), sosial (sosiobudaya, kekeluargaan, rakan, komuniti, etnik, persekitaran sosial, politik, ekonomi dan spiritual) (Clay Graybeal. 2000. Families In Society Journal vol.82.No.3). Secara amnya, Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan menangani pelbagai isu biopsikososial yang melibatkan pendekatan multi-disiplin dalam mencapai objektif total patient care. Perkhidmatan yang disediakan di hospital, institusi dan klinik kesihatan adalah untuk memberi bantuan psikososial kepada pesakit semasa proses rawatan, pemulihan dan pencegahan. Perkhidmatan ini membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi lebih produktif, berdikari dan kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka.
VISI DAN MISI PERKHIDMATAN KERJA SOSIAL PERUBATAN
Visi
Memastikan keperluan psikososial pesakit, keluarga dan komuniti dipenuhi bagi mencapai kesihatan yang lebih baik.
Misi
Misi Memberi khidmat psikososial yang cemerlang melalui bantuan praktik dan terapi sokongan.
Objektif
1. Memberi perkhidmatan psikososial kepada pesakit semasa proses pencegahan, rawatan dan pemulihan.
2. Membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi produktif, berdikari dan dapat kembali kepada
komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka.
3. Meningkatkan keyakinan diri ke arah memperkasakan pesakit melalui khidmat terapi sokongan.
Perkhidmatan
PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN
Skop Perkhidmatan Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan disediakan untuk pesakit dalam dan pesakit luar di hospital, institusi dan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Perkhidmatan ini merangkumi:
Pengurusan Bantuan Praktik :
a) Bantuan Kewangan (peralatan/ ubatan/ rawatan/ am).
b) Penempatan Institusi.
c) Mengesan Waris.
Pengurusan Bantuan Terapi Sokongan :
a) Khidmat Perundingan.
b) Sokongan Emosi.
c) Intervensi Krisis.
Bantuan praktik dan terapi sokongan diberikan kepada kes-kes berikut, antaranya:
a) Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak.
b) Ibu Tanpa Nikah.
c) Keganasan Rumahtangga.
d) Jenayah Seksual.
e) Pesakit Akut dan Kronik.
f) Orang Kurang Upaya (OKU).
g) HIV Positif/ AIDS.
h) Ketagihan Dadah/ Alkohol.