Adakah Ubat Anda Selamat?
Cawangan Penguatkuasaan Farmasi
Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Pulau Pinang

Terdapat banyak laman sesawang yang memaparkan iklan seperti:
"Ubat Kelulusan KKM"
"Selamat Diguna"
"Tiada Kesan Sampingan"
"Mengubati semua penyakit"

Di Malaysia, semua produk farmaseutikal termasuk suplemen kesihatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. Penilaian terhadap ubat perlu dijalankan bagi memastikan kualiti, dan keselamatan ubat farmaseutikal serta ubat-ubatan traditional terjamin untuk digunakan oleh masyarakat Malaysia.

Penggunaan ubat tidak berdaftar boleh menyebabkan anda terdedah dengan risiko seperti kerosakan buah pinggang dan organ dalaman kerana berkemungkinan ia dicemari bahan terlarang selain tidak mengikut sukatan yang bersesuaian bagi menghasilkan ubat. Bahan larangan yang biasa dikesan dalam ubat tradisional seperti majun atau jamu tidak berdaftar adalah ubat tahan sakit, steroids, ubat selesema .
Akibat pengambilan ubat ini, anda mungkin akan merasakan ubat tersebut sangat berkesan dalam masa yang singkat. Namun, anda mungkin akan mengalami kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan anda. Pihak kami menyeru anda berhenti daripada penggunaan ubat tidak berdaftar.
Contoh bahan larangan dalam ubat dan kesan sampingan yang mungkin dialami jika mengambil ubat tidak berdaftar yang dicemari bahan terlarang:
Bahan Larangan | Kesan sampingan yang dikesan | |
---|---|---|
1. | Steroids | Kelemahan otot
Kerapuhan tulang Peningkatan gula dalam darah Tekanan darah tinggi Katarak peningkatan Risiko jangkitan kuman Sindrom cushing (muka membulat) Peningkatan berat badan dengan obesiti di bahagian tengah badan (central obesity). |
2. | Ubat Selsema | Mengantuk
Penglihatan kabur Muntah-muntah Sembelit Kelemahan koordinasi anggota badan |
3. | Ubat Anti-Inflamatori Bukan Steroids | Gastrik Pendarahan dalam perut Kerosakan buah pinggang |

Ubat yang berdaftar dengan PBKD mempunyai dua ciri-ciri utama iaitu:
a) Nombor Pendaftaran MAL
b) Pelekat Hologram FarmaTagTM
Kedua-dua ciri ini perlu dipamerkan pada setiap pek jualan ubat-ubatan.

1. Nombor Pendaftaran MAL
Nombor pendaftaran MAL dimulakan dengan 'MAL', diikuti dengan 8 angka, dan diakhiri dengan kod ubat. Contoh Nombor pendaftaran MAL : MAL12345678X
Maksud bagi setiap Kod Ubat adalah seperti yang berikut:
A: Ubat terkawal (Ubat preskripsi)
X: Ubat terkawal tanpa preskripsi atau ubat over-the-counter (OTC)
T: Ubat tradisional
N: Suplemen kesihatan contohnya vitamin atau mineral
2. Pelekat Hologram FarmaTagTM

3. Laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)
Selain daripada itu, anda juga boleh melayari laman sesawang NPRA https://www.npra.gov.my/.
Pengguna boleh menggunakan butang “Produk Status” untuk memulakan pencarian.

4. Aplikasi FarmaTag Checker
Aplikasi ini boleh di muat turun secara percuma daripada Google Play, App Store atau Huawei AppGallery.

Penjualan ubat tidak berdaftar boleh di dakwa di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Jualan Dadah 1952.
Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM25,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Penguatkuasa Bahagian Khidmat Farmasi Malaysia serta jabatan-jabatan negeri giat membanteras kegiatan ini. Anda boleh membantu dan menjadi mata dan telinga untuk Agensi Penguatkuasa Bahagian Khidmat Farmasi Malaysia membuat aduan di laman sesawang Sistem Aduan Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) . Anda juga boleh terus pergi ke pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di negeri Pulau Pinang. Jangan risau, semua maklumat yang diterima adalah rahsia dan tidak akan disebarkan kepada mana-mana pihak lain.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman sesawang Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Anda juga boleh melayari laman sesawang Facebook Scan Dulu Baru Beli
#scandulubarubeli #FarmaTag #FarmaChecker #ubatselamat #ubatberdaftar
Cawangan Penguatkuasaan Farmasi
Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang
Kemaskini Akhir : 10 September 2024