kursus pemanduan berhemah 02

 

 

Hospital Balik Pulau (HBP) telah berjaya menganjurkan Kursus Pemanduan Berhemah pada 21 April 2026 yang diilhamkan oleh Pengarah HBP sebagai satu inisiatif berterusan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesedaran pemanduan dalam kalangan warga hospital. Program ini telah direalisasikan dengan jayanya oleh Unit Pengangkutan di bawah seliaan Puan Nurdiana binti Mohd Daud, dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP).

Bagi memantapkan lagi pengisian kursus, pihak HBP telah menjemput penceramah jemputan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu Puan Mariana binti Ahmad Saluddin, Ketua Seksyen Keselamatan Jalan Raya dan Encik Mohd Nizam Ahmad, Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ. Kedua-dua penceramah telah menyampaikan taklimat yang komprehensif merangkumi aspek undang-undang jalan raya, tanggungjawab sebagai pemandu, serta amalan keselamatan yang perlu dipatuhi semasa berada di jalan raya.

Sepanjang kursus berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai input berguna termasuk kepentingan pematuhan peraturan lalu lintas, teknik pemanduan berhemah, pengurusan risiko semasa memandu, serta langkah-langkah pencegahan kemalangan. Penekanan turut diberikan terhadap sikap pemandu yang berdisiplin, beretika dan sentiasa peka terhadap persekitaran jalan raya.

Penganjuran kursus ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan warga HBP mengenai kepentingan keselamatan jalan raya, di samping mengurangkan risiko kemalangan khususnya dalam kalangan kakitangan yang menggunakan kenderaan rasmi mahupun persendirian bagi tujuan tugas harian.

Diharapkan melalui penganjuran program seperti ini, warga HBP dapat mengamalkan budaya pemanduan berhemah secara berterusan, seterusnya melahirkan pemandu yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin tinggi serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Pihak hospital juga komited untuk terus menganjurkan program-program seumpama ini sebagai langkah proaktif dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja sentiasa terpelihara.