Pengenalan
PUSAT SUMBER ORGAN TRANSPLAN
PENGENALAN
Pada tahun 1999, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi melicinkan pembangunan program pemindahan organ. Jawatankuasa utama ialah Jawatankuasa Penyelarasan Pemindahan Organ Kebangsaan (National Transplantation Coordinating Committee - NTCC) yang ditugaskan untuk mewujudkan polisi serta mengawasi perlaksanaan program transplantasi di seluruh negara. Selain dari itu satu jawatankuasa perlaksanaan di bawah Persatuan Transplantasi Malaysia telah ditubuhkan iaitu Transplant Programme Committee yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana keputusan NTCC. Di peringkat hospital termasuk Hospital Pulau Pinang, satu pasukan dikenali Tissue And Organ Procurement Team (TOP Team) telah ditubuhkan bagi membantu jawatankuasa transplan melaksanakan pembangunan rawatan pemindahan organ.
Satu program yang dilaksanakan di bawah TOP Team ini ialah Pusat Sumber Transplan Hospital Pulau Pinang.
FUNGSI DAN OBJEKTIF
1) Menjadikan pusat ini sebagai satu tempat untuk merancang, melaksanakan, menilai program-program pendidikan serta kesedaran tentang pemindahan dan pendermaan organ di Negeri Pulau Pinang.
2) Membolehkan pusat ini berfungsi sebagai pusat rujukan dan pusat pertanyaan bagi orang ramai berkaitan pendermaan dan pemindahan organ.
3) Bertindak sebagai tempat untuk menyedarkan dan mengumpul borang-borang pendermaan organ dan mengirimkan ke Pusat Sumber Transplan Nasional.
4) Berperanan untuk menyimpan rekod-rekod penderma organ.
5) Menghasilkan bahan-bahan pendidikan pendermaan organ seperti poster pameran, risalah dan sebagainya.