Sejarah Hospital Kepala Batas
Hospital Kepala Batas yang terletak di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang adalah hospital yang sepatutnya mengganti Hospital Butterworth lama yang telah ditukar fungsinya apabila Hospital Seberang Jaya mula beroperasi pada tahun 1994. Sejak itu, penduduk di daerah ini tidak mempunyai sebarang hospital kerana Hospital Seberang Jaya terletak di daerah Seberang Perai Tengah. Walaupun begitu, perancangan awal telah diambil untuk membina sebuah hospital baru di daerah Seberang Perai Utara, iaitu Kepala Batas. Hasilnya, sebidang tanah seluas 25 ekar telah dibeli di bawah Rancangan Malaysia ke-6.
Pembinaan hospital baru ini kemudiannya menjadi kenyataan apabila Majlis Pecah Tanah oleh YAB Timbalan Perdana Menteri telah dilakukan pada 11 November 2000. Kos pembinaan hospital ini ialah sebanyak RM 83 Juta. Hospital ini telah siap mengikut jadual dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada 1 Disember 2002. Pada 1 Januari 2003, hospital ini telah mula beroperasi. Hospital Kepala Batas terletak di daerah Seberang Perai Utara yang merangkumi keluasan 738.41 km persegi. Penduduk di daerah ini terdiri daripada berbagai kaum yang berjumlah seramai lebih daripada 290,000 orang. Kebanyakan penduduk berkerja berasaskan pertanian.
Bagi daerah Kepala Batas, ianya adalah sebuah kawasan yang pesat membangun dan pelbagai projek pembangunan telah dirancang dan ada yang telah siap pembinaannya dan mula beroperasi. Ini termasuklah Hospital Kepala Batas. Kepala Batas telah dirancang dengan kemas dan teliti dan di antara projek yang akan menyusul termasuklah pembinaan sebuah institusi lepasan ijazah untuk perubatan dan pergigian dari Universiti Sains Malaysia serta sebuah kolej perubatan swasta.
**dikemaskini pada 4 Mac 2020